Shumi ke MRSM (3)!

Assalamualaikum. Sambung cerita pasal Shumi ke MRSM lagi. Harap korang jangan muntahlah ye.

22hb Jan tu awal pagi dah bertolak dari hotel ke MRSM untuk pendaftaran Shumi. Sepanjang kitaorang di Tawau, nak menuju ke mana hanya berpandukan kepada Google Maps. So nak ke MRSM pun bergoogle maps jugalah kami. Kmia tak berapa suka waze untuk cari arah jalan. 
Dari hotel ke MRSM cuma mengambil masa lebih kurang 20 minit. Kmia hari ni memang sedang mengawal perasaan. Tak mahu nampak rasa sedih depan Shumi .. huhu.

Tercapai impian Shumi nak masuk MRSM!



Moga adik-adiknya pun ikut jejak abangnya

Hari tu tidak ramai pelajar yang mendaftar untuk panggilan kedua. Form 4 ada beberapa pelajar dan Form 1 ada 4 orang sepatutnya termasuk Shumi tapi pagi tu hanya Shumi yang mendaftar sebagai pelajar Form 1. Yang lain belum sampai lagi agaknya. 

Kmia memang tidak ada pengalaman langsung tentang persediaan untuk bersekolah di MRSM. Baju seragam mereka tidak sama dengan baju seragam sekolah menengah biasa. Kata kawan Kmia yang anaknya juga bersekolah di MRSM Tawau ni, baju seragam dan baju aktiviti boleh dibeli di koperasi MRSM. So dengan konpidennya Kmia memang tidak ada membawa baju seragam sekolah untuk Shumi. Hanya barang dan baju harian Shumi yang Kmia packingkan. Urusan pendaftaran sekejap sahaja sebab borang-borang sudah Kmia isikan siap2 dan yuran juga awal-awal kami dah bank in kan.


Sekitar pendaftaran Shumi hari tu. Sumber gambar dari FB rasmi MRSMTMT

Selesai pendaftaran, kami menghantar Shumi ke bilik asramanya. Simpan semua barang-barang kemudian terus bergerak ke koperasi untuk membeli pakaian seragam sekolah Shumi. 

Nampaknya Shumi sudah sedia tinggal asrama ni tapi uminya ni yang belum sedia lepaskan Shumi .. huwaaa

Sampai kat koperasi .. staff tu cakap seragam sekolah habis stok. Alamak habislah gini. Dah lah Shumi langsung tak bawa pakaian seragam sekolah yang biasa tu. Mungkin dia nampak muka kami yang dah start panik, terus suggestkan satu kedai yang ada jual seragam MRSM, Jasmine Textile Sdn Bhd di Bandar Tawau. Bergegas ni keluar ke bandar sebab hari tu Shumi mesti berada di asrama sebelum jam 5 petang. Alhamdulillah nasib baik dapat juga seragam Shumi. Selesai urusan (agak Kmialah) terus bawa Shumi makan tengahari sebab untuk pelajar baru makanan yang mula disediakan selepas jam 5 petang.

Selesai makan dan membeli barang, kami kembali semula ke MRSM. Masa tu dah dekat jam 3.30 petang. Korang boleh teka apa perasaan Kmia time tu. Dah lah sejak semalam tu tak sedap badan. Ditambah lagi rasa sebak yang semakin tak dapat ditahan2 tu. Sakit tau terpaksa tahan sejak kami bertolak ke Tawau tu huhu. Lepas solat asar kira-kira jam 4.30 petang tu kami bersiap-siap untuk balik ke hotel. Tapi kali ni balik berempat sahaja. Shumi kena belajar hidup berdikari sudah. Umi dah tak boleh sediakan makan, pakai sebelum sekolah. Kena buat sendiri sudah. Macam-macam Kmia dan hubby pesan. Pandai pilih kawan, jangan itu jangan ini, jangan tinggal solat. Bla bla bla .. mungkin pesan tu dah berulang kali Shumi dengar.
Sampailah time salam-salam tu. Kali ni memang Kmia tak tahan. Terhambur semua tangisan. Peluk dan cium Shumi. Adik-adiknya hairan. Napa pula Umi nangis macam ni. Shumi pun sama, boleh2 dia tanya napa Umi nangis? Cehhh. Umi ko ni mana pernah berpisah dengan anak. Sedangkan dorang pergi kem sehari semalam pun Kmia dah macam kucing hilang anak, inikan tinggal berjauhan. Time cuti sekolah ja baru jumpa.
Shumi time tu Kmia nampak relaks saja, tak sedih tak juga happy. Mungkin sebab masa tu ngam2 dia terjumpa dengan rakan sekolah rendahnya dulu yang kebetulan bersekolah di situ juga.

Masuk kereta, Kmia diam sahaja. Semua pun diam. Sedih ko. Hubby nampak relaks tapi dalam hati sapa yang tahu kan. Tengah diam-diam melayan perasaan tu baru teringat buku-buku dan alat tulis Shumi yang lain belum beli. Rasa nak tepuk dahi kuat2 sebab boleh2 benda ni yang tak ingat. Huhu. Terus kelam kabut ke Giant, beli segala buku dan peralatan, bungkus kemas2 dan balik ke MRSM semula. Tapi kali ni memang tak boleh masuk jumpa Shumi dah, barang-barang kena tinggalkan di pondok pengawal dan tulis nama pelajar. Call Shumi pesan jangan lupa ambil di pondok pengawal esok.

Sampai di hotel, semua diam tak ada mood. Shamzi bermain sendiri dipenjuru bilik. Tiba-tiba bertanya; Umi tiada call? Kmia tanya call siapa. Dia tak jawab dan diam sahaja. Shumi memang kami bekalkan sebiji telefon. MRSM benarkan pelajar bawa telefon tapi telefon yang zaman batu hehe. Bukan smartphone.

Masing-masing tiada mood. Tidur awal, makan malam pun tak lalu

Kmia? Demam. Banyak menangis. Bukan melebih-lebih tapi tak biasa kan huhu. Malamnya telan 2 biji panadol dan tidur.

Awal pagi esoknya selepas subuh kami check out dan bertolak balik ke KK. Rasa lain bila dalam kereta cuma berempat sahaja. Dari semalam memang semua tak ada mood nak bercakap. Semua diam sahaja lagipun Kmia sedang demam. Sepanjang jalan Kmia hanya tidur sambil berselimut.

Kali ni kami balik ikut Jalan Kalabakan tu. Mengikut kata kawan hubby, jalannya sudah ok cuma ada sesetengah kawasan masih belum berturap dan tidak ada line telepon. Selebihnya ok. Dan kawan hubby tu jika balik ke KK pun akan ikut jalan ni. Lebih dekat dan cepat sampai ke KK. Dan memang betul. Kami sampai ke KK lebih kurang dalam jam 3 petang. Itupun sebab kami ada singgah dalam 2 jam di Keningau untuk makan dan solat serta rehat. Kalau tidak mungkin lebih awal sampai di rumah.

Jalan Kalabakan ni, rasanya selamat dilalui pada siang hari sebab sunyi dan kiri kanannya hanya hutan tebal. Korang akan lalu pintu masuk ke Maliau Basin kalau ikut jalan ni.

Pintu masuk ke Maliau Basin. Amboi bukan main seronok korang ye
Selain sunyi, jalan ni adalah tempat laluan gajah-gajah liar. Hari tu kami ikut jalan ni memang ada di sesetengah tempat ni berselerakan najis gajah di atas jalan raya. Besar dan fresh2 pula tu .. hehe.
Bagi Kmia jalan rayanya memang dah ok. Yang tidak berturap cuma tinggal disesetengah tempat tetapi tidak banyak. Yang mencabar bagi Kmia ialah semasa laluan Keningau ke Kimanis. Kena lalu Banjaran Crocker tu. Tanah tinggi dan sangat berkabus. Hari tu memang langsung tak nampak jalan, kabusnya sangat tebal. Dan bila kau berada di tanah tinggi dan turun secara mendadak, kenalah tahan tekanan dalam telinga tu. Sakit ya amat. Rasa nak meletup telinga Kmia time tu. Hubby pun dah panik. Nasib baiklah tahan sakit tu sekejap sahaja.

Sampai rumah lebih kurang jam 4.30 petang. Masing-masing lakukan rutin yang sama tetapi kali ni berbeza sebab hanya 4 orang yang lakukannya.

Ok lah tu. Nanti-nantilah kita story-story apa yang jadi kat Shumi selepas 3 hari duduk di asrama.


5 Comments

Komen seikhlas hati ... Thanks!

Post a Comment

Komen seikhlas hati ... Thanks!

Post a Comment

Previous Post Next Post